Tuesday, 28 December 2021

KEBAIKAN MEDIA SOSIAL

 Pada era globalisasi ini, kemajuan teknologi yang merentas masa dan jarak yang dahulunya mustahil tetapi kini tidak lagi telah mewujudkan pelbagai teknologi yang berkait rapat dengan kehidupan kita. Antaranya adalah laman media sosial di mana kita boleh bersosial atau berhubung dengan seseorang dengan hanya menggunakan teknologi seperti telefon pintar dan jalur lebar pada bila-bila masa dan di mana sahaja. Corak perhubungan manusia sudah tiada penghalang kerana kita mampu menghubungi secara "real time" atau bermaksud masa sebenar hasil daripada kemajuan aplikasi yang dibangunkan bagi memudahkan komunikasi dan perhubungan antara manusia. Pewujudan aplikasi-aplikasi sosial media ini telah memberi pelbagai faedah kepada pengguna-penggunanya.

Dapat berhubung dengan kenalan

Kebaikan utama menggunakan laman sosial adalah kita dapat berhubung dengan kenalan kita dan juga mendapat kenalan baru. Laman sosial seperti Facebook telah memberikan satu dimensi baru dalam bersosial antara manusia di mana kita boleh berkawan dengan rakan kita dan boleh berkongsi apa yang kita merasakan sesuai seperti gambar. la boleh menjadi tempat di mana satu hari atau detik istimewa dalam hidup kita untuk dikongsikan di laman sosial dan boleh disimpan serta dilihat semula kelak sebagai memori kita. Panggilan video melalui aplikasi seperti Whatsapp juga telah membolehkan kita berinteraksi secara bersemuka dengan kenalan kita tidak kira di mana kita berada selagi kita mempunyai sambungan jalur lebar. Oleh itu, media sosial telah memudahkan cara komunikasi antara kita tidak kira ahli keluarga, rakanrakan sekolah atau rakan sekerja kita.

Dapat menambah pengetahuan

Selain itu, media sosial amat berfaedah kepada kita kerana mampu menambah pengetahuan kita dari segi pelbagai perkara. Pengguna dapat bertukar pandangan, cadangan dan berkongsi ilmu baru melalui rangkaian alam maya ini. Agensi wartawan atau berita juga telah menggunakan media sosial di mana berita-berita terkini atau isu terkini dapat disampaikan secara terus tapa menunggu siaran berita di televisyen. Tambahan pula, perkongsian ilmu di laman sosial tidak terhad kepada penulisan sahaja, pendekatan seperti video telah menjadikan  laman sosial lebih interaktif dan bermanfaat kepada kita. Laut ditimba tak akan kering, begitulah perumpamaan peribahasa Melayu di mana pengajian ilmu pengetahuan itu tidak akan habis selagi hayat dikandung badan.

Dapat memberikan dimensi baru dalam bidang perniagaan

Media sosial juga telah memberikan dimensi baru dalam bidang perniagaan di mana promosi dan produk dapat diketengahkan kepada golongan sasaran menggunakan kos yang lebih rendah dan mudah. Jika dahulu kos pengiklanan di televisyen atau papan tanda di jalan raya boleh mencecah ribuan ringgit tetapi kemudahan teknologi har ini hendaklah dimanfaatkan sepenuhnya pengusaha-pengusaha dalam menguasai cara atau ilmu mempromosi produk menggunakan media sosial. Pengusaha hendaklah kreatif dalam menyampaikan imej produk mereka dan boleh berkongsi testimoni-testimoni daripada pelanggan terdahulu tentang produk anda sebagai strategi mempromosi produk di laman sosial media.

Dapat mencari kenalan baru

Melalui media sosial juga, kita boleh mencari kenalan baru yang berkongsi hobi atau minat yang sama. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak mereka menyertai kumpulan atau aktiviti seperti berbasikal yang dianjurkan oleh kelab atau persendirian di laman sosial media. Mereka boleh mengikuti perkembangan anak-anak mereka yang berbasikal dengan perkongsian gambar atau video oleh penganjur kelab tersebut di mana ibu bapa akan menjadi lebih tenang dalam memastikan anak-anak mereka meluangkan masa dalam perkara yang bermanfaat. Sekiranya minat anak-anak dalam hobi yang sihat menjadi semakin berkembang maka ibu bapa wajar menyokong dan menggunakan platform media sosial in untuk berkongsi bakat mereka kerana mampu menjana pendapatan sampingan atau menarik minat penaja.

Kesimpulannya, penggunaan media sosial dengan bijak mampu memberikan kebaikan yang berganda kepada kehidupan kita. Penerapan etika yang baik dan mempelajari pendekatan interaktif dalam aplikasi-aplikasi media sosial adalah perkara utama dalam memanfaatkan laman media sosial. Maka, setiap pihak terutamanya ibu bapa hendaklah bersama-sama celik ilmu dalam menggunakan sosial media agar anak-anak juga memanfaatkan penggunaannya  dengan sebaik mungkin. Seperti peribahasa Melayu, ke mana tumpah kuah kalau tidak ke nasi yang membawa maksud jika ibu bapa menunujukkan teladan baik maka baiklah perangai anakanak mereka jika sebaliknya maka buruklah akibatnya.


 


 


No comments:

Post a Comment

INDEKS / ISI KANDUNGAN

BIL PERKARA 1 Penghargaan 2 Pengenalan 3 Objektif 4 Jenis-jenis media sosial 5 Kebaikan media sosial 6 Keburukan media sosial ...